Showing posts with label Maklumat Asas. Show all posts
Showing posts with label Maklumat Asas. Show all posts

Friday, December 26, 2008

Berurusan Dengan Pengantara


Siapakah pengantara insurans atau takaful?

Pengantara insurans ialah individu atau organisasi yang membantu anda membeli atau mendapatkan polisi insurans. Ejen insurans, broker insurans dan penasihat kewangan adalah di antara mereka yang dikenali sebagai pengantara insurans.

Pengantara takaful pula ialah seseorang yang mencari atau mempelawa pelanggan untuk menyertai kontrak takaful dengan pengendali takaful. Mereka juga dikenali sebagai ejen dan broker takaful.

Apakah perbezaannya?

Seorang ejen insurans atau takaful mewakili syarikat insurans atau pengendali takaful dan secara amnya memberi penerangan dan menjual polisi-polisi insurans atau pelan-pelan takaful yang dikeluarkan oleh syarikat insurans atau pengendali takaful kepada pelanggan. Seorang broker insurans atau takaful pula mewakili pelanggan dan menasihati pelanggan tentang polisi insurans atau pelan takaful yang paling sesuai dengan pelanggan itu. Seorang penasihat kewangan ialah pihak berkecuali yang memberi perkhidmatan perancangan kewangan kepada pelanggan berdasarkan keperluan kewangan pelanggan itu.

Perbezaan ketiga-tiga pengantara insurans atau takaful ini boleh dilihat melalui jadual di bawah:



Tip-tip berurusan dengan pengantara insurans dan takaful

Berurusan dengan ejen, broker atau penasihat kewangan yang mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Pengetahuan yang mendalam tentang produk insurans dan/atau takaful di pasaran
  • Memahami keperluan dan keinginan anda
  • Memastikan anda memahami polisi atau pelan yang anda beli
  • Tidak menjanjikan sesuatu yang tidak logik atau keterlaluan
  • Menjual berdasarkan fakta, tidak mendesak atau mengancam
  • Memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan menepati masa

Lindungi hak-hak dan kepentingan anda :
  1. Hanya berurusan dengan pengantara yang berdaftar/berlesen.
  2. Berurusan dengan pengantara yang mempunyai rekod kerja yang terbukti atau yangdicadangkan oleh rakan-rakan atau ahli keluarga.
  3. Berikan maklumat anda secara jujur dan serahkan fakta-fakta penting.
  4. Jangan menandatangani borang kosong atau apa-apa yang tidak anda fahami.
  5. Jangan terpedaya dengan pujukan untuk meluputkan polisi yang sedia ada untuk membeli polisi insurans hayat baru.
  6. Pastikan anda memahami produk yang anda beli.
  7. Baca manfaat dan syarat-syarat polisi dengan teliti dan bandingkan dengan produk lain.
  8. Membuat perbandingan terlebih dahulu sebelum membeli sebarang polisi.
  9. Hanya beli produk yang anda perlu dan mampu.
  10. Minta bahan-bahan jualan, seperti ilustrasi jualan, risalah produk atau borang carian fakta pengguna (untuk produk hayat sahaja) dan simpan kesemua dokumen ini dengan elok
  11. Jika mengalami sebarang keraguan, dapatkan maklumat lebih lanjut daripada pengantara anda atau penjelasan daripada syarikat insurans atau pengendali takaful anda.
  12. Dapatkan resit sebagai bukti pembayaran premium dan simpan resit itu dengan elok.

Etika asas pengantara insurans atau takaful

  • Apabila berurusan dengan pengantara insurans atau takaful, anda boleh mengharapkan mereka memenuhi piawaian perilaku yang tertentu apabila mereka mengendalikan keperluan insurans atau takaful anda. Sebagai contoh, pengantara tersebut hendaklah:
  • Menunjukkan Kad Pendaftaran Ejen kepada anda jika diminta (untuk ejen insurans). Seorang ejen takaful yang telah lulus pendaftarannya oleh Pendaftar Pengantara Takaful mempunyai Kad Kuasa yang mempunyai semua maklumat berkenaan ejen tersebut.
  • Mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat insurans atau pengendali takaful yang diwakili. Di samping itu, broker insurans dan penasihat kewangan juga sepatutnya mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang produk dan perkhidmatan yang ada dalam pasaran.
  • Berusaha memahami keperluan anda dan membantu anda memilih produk atau perkhidmatan insurans atau takaful.
  • Menerangkan dengan jelas butiran maklumat yang diperlukan dalam borang cadangan serta betapa pentingnya untuk memaklumkan fakta yang penting.
  • Menerangkan dengan jelas terma dan syarat utama kontrak insurans atau pelan takaful yang dicadangkan untuk membantu anda memahami produk yang anda beli.
  • Menarik perhatian anda tentang sebarang pengecualian atau sekatan di bawah kontrak insurans atau pelan takaful yang dicadangkan.
  • Membuat susulan dan memberikan perkhidmatan yang berterusan kepada anda, seperti pembaharuan polisi dan memberitahu perkembangan terkini produk baru yang berkaitan.
  • Memberikan bantuan kepada anda jika anda perlu membuat tuntutan kepada syarikat insurans atau pengendali takaful.


Sumber: http://www.insuranceinfo.com.my/learn_the_basics/dealing_with_intermediaries.php?intPrefLangID=2&


Read more...

Adakah anda dilindungi?

Ramai yang mempunyai perlindungan insurans atau takaful untuk kereta atau rumah mereka. Lazimnya, kereta dan rumah diinsuranskan kerana pemilik tidak mahu sebarang perkara yang tidak diingini berlaku ke atas harta benda ini. Tetapi mengapa masih ramai yang tidak melindungi diri dan keluarga seperti melindungi harta benda mereka?

Kita sering beranggapan sesuatu perkara yang buruk tidak akan menimpa kita. Hakikatnya, kehidupan bukanlah sesuatu yang boleh diramal. Insurans dan takaful mungkin tidak dapat menjamin masa depan yang cerah untuk anda, tetapi sekurang-kurangnya perlindungan dan bantuan yang diperlukan anda dan keluarga dijamin ketika anda memerlukannya.

Langkah 1: Rancang

S: Apakah polisi yang anda miliki? Sudahkah anda membeli polisi insurans untuk diri anda? Adakah majikan anda menyediakan insurans hayat dan perubatan untuk anda? Bagaimana dengan keluarga anda? Isteri atau suami anda? Anak-anak anda? Adakah mereka dilindungi?

J: Jika anda menjawab tidak, inilah masanya untuk anda merancang langkah seterusnya dengan teliti. Nilai sejauh mana anda dilindungi sekarang dan apa yang anda perlu lindungi.

Langkah 2: Laksanakan

Sebelum anda membeli polisi insurans atau pelan takaful selidik dan ketahui lebih lanjut tentang produk insurans dan takaful yang ada di pasaran. Bukan semua polisi atau pelan sesuai untuk anda. Polisi-polisi atau pelan-pelan yang berbeza menawarkan ciri-ciri, manfaat, syarat-syarat dan pengecualian yang berbeza.

Kaji terlebih dahulu polisi atau pelan yang ingin dibeli agar bersesuaian dengan keperluan dan peringkat hidup anda. Lindungi diri anda. Lindungi mereka yang tersayang dan pastikan pelaburan anda untuk perlindungan ini berbaloi.

Bolehkah keluarga anda meneruskan hidup tanpa anda?

Kehidupan kita di dunia adalah singkat. Mungkin anda telah memastikan keluarga anda terpelihara jika anda pergi dahulu, tapi adakah ia mencukupi? Insurans hayat dan pelan takaful keluarga dapat menjamin daripada segi kewangan dan boleh memberi mereka perlindungan kewangan tambahan untuk meneruskan kehidupan setelah anda tiada. Dan dengan polisi seperti insurans berkaitan pelaburan dan pelan pendidikan anak, keluarga anda pasti akan mendapat perlindungan menyeluruh.

Adakah ahli keluarga anda memerlukan rawatan perubatan?

Kecederaan boleh berlaku dan penyakit boleh menyerang tanpa sebarang amaran. Rawatan yang tepat dan cepat merupakan antara cara yang terbaik untuk memastikan kecederaan atau penyakit yang dialami tidak memudaratkan. Dengan kos perubatan moden yang semakin meningkat, mendapatkan rawatan yang boleh menyelamatkan nyawa tidak harus bergantung kepada simpanan atau wang tunai anda semata-mata. Pastikan kos rawatan dan perubatan anda tidak menjadi masalah ketika anda memerlukannya dengan insurans perubatan dan kesihatan atau takaful perubatan dan kesihatan.

Adakah simpanan anda cukup untuk kehidupan selepas persaraan?

Anda mungkin menghitung hari sehingga anda boleh berehat dengan secukupnya di samping keluarga. Walau bagaimanapun, dengan kadar inflasi kini, kadangkala wang simpanan anda tidak dapat memenuhi keperluan anda.

Dengan anuiti persaraan, anda boleh melabur wang anda untuk kehidupan anda selepas bersara, agar wang yang anda perolehi sekarang boleh digunakan dengan lebih bermakna kelak.

Adakah rumah anda dilindungi?

Rumah anda merupakan tanggungjawab kewangan anda yang terbesar. Oleh itu, tidak hairanlah jika anda mahu memastikan aset anda ini kekal selamat, daripada bencana alam, kemalangan dan kecurian. Insurans perumahan dan takaful perumahan boleh menjamin rumah serta kelengkapan di dalamnya selamat.

Adakah anda memerlukan kenderaan?

Sekiranya anda mempunyai kenderaan bermotor atau motorsikal, anda wajib untuk membeli insurans motor. Jadi, luangkan sedikit masa untuk memahami apa yang dilindungi insurans motor dan takaful motor anda. Pastikan bagaimana polisi tersebut melindungi kenderaan anda dan boleh membantu anda ketika membaiki atau mendapatkan kembali kenderaan anda jika berlaku sebarang kemalangan atau kecurian.

Adakah anda sering melancong?

Ketika berada di luar negara, pelbagai perkara yang tidak diingini boleh berlaku seperti kehilangan pasport, kecederaan atau berlaku sesuatu yang lebih buruk. Insurans perjalanan menjamin anda serta barangan milik anda terpelihara. Insurans kemalangan diri atau takaful kemalangan diri,pula menjamin perlindungan ke atas diri anda 24 jam seantero dunia, tidak kira di mana anda berada.


Sumber: http://www.insuranceinfo.com.my/learn_the_basics/are_you_covered.php?intPrefLangID=2


Read more...

Thursday, December 25, 2008

Jenis Takaful


Konsep takaful secara amnya adalah sumbangan atau caruman sejumlah wang ke dalam sebuah dana takaful dalam bentuk caruman penyertaan (tabarru’). Anda dikehendaki untuk memeterai kontrak (aqad) yang menjadikan anda salah seorang peserta dan bersetuju untuk membantu antara satu sama lain sekiranya mana-mana peserta mengalami sebarang musibah, sama ada kematian, hilang upaya kekal, kerugian, kerosakan atau lain-lain musibah yang dilindungi di bawah pelan takaful anda.

Pelan perlindungan takaful adalah berdasarkan prinsip Syariah yang menawarkan pelbagai ciri unik kepada pemegang polisi. Secara amnya, pelan perlindungan terbahagi kepada dua jenis, iaitu takaful keluarga dan takaful am.

Takaful Keluarga










Produk utama takaful keluarga termasuklah:

  • Pelan Keluarga
  • Pelan Berkaitan Pelaburan
  • Pelan Pendidikan Anak
  • Pelan Perubatan dan Kesihatan
  • Pelan Anuiti

Takaful Am











Produk utama takaful am termasuklah:
  • Pelan Kebakaran/Empunya/Isi Rumah
  • Pelan Motor
  • Pelan Kemalangan Diri

Prinsip Asas Takaful
  • Anda mesti mempunyai kepentingan kewangan yang sah dalam subjek yang berkenaan untuk menyertai pelan takaful.
  • Kontrak takaful adalah berdasarkan prinsip penuh percaya mutlak (amanah) yang memerlukan anda mendedahkan semua maklumat semula yang berkaitan.
  • Anda hanya boleh memperolehi nilai kerugian kewangan anda dan bukan mendapat keuntungan berikutan sesuatu kerugian yang boleh ditentukan nilainya.
  • Dalam menentukan pampasan, pengendali takaful akan mengenal pasti punca kerugian tersebut.
  • Setelah anda menerima pampasan bagi kerugian tersebut, pengendali takaful berhak menuntut daripada pihak ketiga yang bertanggungjawab terhadap kerugian tersebut.
  • Sekiranya sesuatu kerugian ditanggung oleh lebih daripada satu pelan takaful atau polisi insurans, pengendali takaful yang telah membuat pembayaran kepada anda boleh meminta pengendali takaful atau syarikat insurans lain yang terbabit untuk menyumbang mengikut kadar bahagian masing-masing.


Sumber: http://www.insuranceinfo.com.my/learn_the_basics/types_of_takaful.php?intPrefLangID=2&


Read more...

Jenis Insurans


Kita sering mendengar pelbagai jenis polisi insurans yang ditawarkan tanpa benar-benar memahami ciri-ciri serta skop perlindungan tersebut. Terdapat 2 jenis insurans utama, iaitu insurans hayat dan insurans am, dua polisi yang berbeza dan melindungi aspek-aspek yang berlainan di dalam hidup anda.

Insurans hayat

Insurans hayat adalah perlindungan yang membayar sejumlah wang kepada pemegang polisi atau penama sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini kepada pemegang polisi, seperti kematian. Perlindungan ini juga ditawarkan dalam bentuk pelan takaful keluarga, sebuah pelan perlindungan untuk anda dan keluarga yang berlandaskan prinsip Syariah.

Lazimnya, tempoh perlindungan insurans hayat adalah lebih dari setahun. Ini bermakna bayaran premium secara berkala, sama ada bulanan, suku tahunan atau tahunan, perlu dijelaskan.

Risiko yang dilindungi insurans hayat adalah:

  • Kematian dalam tempoh polisi
  • Pendapatan semasa persaraan
  • Penyakit
  • Hilang upaya

Produk utama insurans hayat termasuklah:

  • Polisi seumur hidup
  • Polisi endowmen
  • Polisi bertempoh
  • Polisi berkaitan pelaburan
  • Polisi anuiti
  • Polisi perubatan dan kesihatan

Insurans am

Insurans am merupakan polisi insurans yang melindungi anda daripada sebarang kerugian atau kerosakan yang ditanggung, selain daripada risiko yang dilindungi insurans hayat. Untuk perlindungan yang menyeluruh, anda perlu memahami risiko yang dilindungi insurans am untuk memastikan anda dan keluarga terpelihara daripada sebarang kejadian yang tidak diduga.

Lazimnya, tempoh perlindungan untuk kebanyakan polisi dan pelan insurans am adalah setahun yang memerlukan ada membayar premium secara sekali gus.

Risiko yang dilindungi insurans am adalah:

  • Kerugian harta benda, contohnya kecurian kereta atau kebakaran rumah
  • Liabiliti yang wujud akibat kerosakan kepada pihak ketiga yang disebabkan oleh anda
  • Kematian akibat daripada kemalangan atau kecederaan

Produk utama insurans am termasuklah:

  • Polisi motor
  • Polisi kebakaran/empunya rumah/isi rumah
  • Polisi kemalangan diri
  • Polisi perubatan dan kesihatan

Sumber: http://www.insuranceinfo.com.my/learn_the_basics/types_of_insurance.php?intPrefLangID=2&


Read more...

Wednesday, December 24, 2008

Memahami Insurans dan Takaful

Insurans adalah pemindahan risiko daripada seorang individu seperti anda, atau sebuah organisasi, seperti syarikat anda, kepada syarikat insurans. Anda atau syarikat anda akan dikenali sebagai pemegang polisi. Syarikat insurans akan menerima bayaran daripada anda dalam bentuk premium dan sekiranya anda mengalami sebarang kerugian atau kerosakan, syarikat insurans akan membayar pampasan kepada anda.

Takaful adalah pelan perlindungan berdasarkan prinsip Syariah. Dengan mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful dalam bentuk caruman penyertaan (tabarru), anda memeterai kontrak (aqad) bagi membolehkan anda menjadi seorang peserta dengan bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain, sekiranya salah seorang peserta mengalami kerugian yang ditetapkan.

Kedua-dua insurans dan takaful mempunyai prinsip asas yang sama. Sebagai contoh, pemegang polisi (anda) mestilah mempunyai kepentingan yang sah terhadap barang atau hayat yang diinsuranskan. Ini bermakna, anda akan menanggung kerugian kewangan sekiranya berlaku sesuatu kerosakan atau kehilangan kepada harta benda atau hayat yang diinsuranskan.

Anda tidak perlu membeli lebih daripada satu polisi atau pelan untuk melindungi harta anda. Sekiranya anda memiliki lebih daripada satu polisi, anda hanya boleh membuat satu tuntutan jika sebarang kerugian atau kerosakan berlaku. Jumlah yang boleh dibayar akan disumbangkan oleh syarikat-syarikat insurans yang terlibat. Oleh itu, anda tidak boleh meraih keuntungan daripada polisi insurans am atau pelan takaful. Sekiranya anda mengalami kerugian, syarikat insurans akan membayar pampasan yang setimpal atau anda akan ditetakkan kepada keadaan yang sama sebelum berlaku kerugian. Walau bagaimanapun, anda boleh membeli lebih daripada satu polisi untuk melindungi hayat anda.

Kontrak insurans atau takaful adalah atas prinsip penuh percaya mutlak . Oleh itu, anda sebagai pemegang polisi atau pelan haruslah mendedahkan semua maklumat penting yang diperlukan. Sekiranya anda gagal mendedahkan maklumat berkenaan, polisi atau pelan anda mungkin tidak sah dan anda tidak akan dilindungi ke atas sebarang kerugian atau kerosakan.

Selain itu, di bawah pelan takaful, anda boleh menikmati perkongsian lebihan daripada dana takaful, berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui sekiranya anda tidak membuat sebarang tuntutan sepanjang tahun tersebut.


Dimanakah boleh saya dapatkan produk Insurans atau takaful?


Anda boleh membeli polisi insurans atau menyertai pelan takaful:

  • Secara terus daripada syarikat insurans atau pengendali takaful
  • Melalui ejen berdaftar atau broker berlesen
  • Melalui institusi perbankan yang mempunyai urusan bankasurans dengan syarikat insurans atau pengendali takaful
  • Melalui Internet

Panduan penting apabila membeli polisi insurans atau menyertai pelan takaful.

  • Benar-benar memahami polisi insurans atau pelan takaful anda termasuklah ciri-ciri produk, syarat-syarat, had manfaat dan pengecualiannya.
  • Memastikan premium insurans dan caruman takaful yang akan dibayar adalah berpatutan.
  • Memastikan amaun perlindungan adalah mencukupi dan sesuai dengan keperluan anda.
  • Memastikan semua fakta penting didedahkan sepenuhnya.
  • Berurusan hanya dengan ejen berdaftar/broker berlesen atau secara terus dengan syarikat insurans atau pengendali takaful.
  • Memantau tempoh perlindungan dan masa untuk membayar premium atau caruman.


Sumber: http://www.insuranceinfo.com.my/learn_the_basics/insurance_made_clear.php?intPrefLangID=2&


Read more...

Perkara Asas Insurans


Apa itu Insurans?
Apakah jenis-jenis insurans?
Apa itu Polisi pihak ketiga (third party)/polisi komprehensif?
Polisi Komprehensif
Apa yang patut anda lakukan semasa mengisi Borang Cadangan?
Apa yang terjadi jika ejen insurans melakukan kesilapan atau mengisi maklumat yang tidak benar?
Apa dia Nota Lindungan (Cover Note)?
Apa yang patut anda lakukan sernasa mernpertimbangkan untulk membeli polisi?
Apa yang perlu anda lakukan sekiranya anda ditimpa kemalangan
Perkara Yang Perlu Diingat

Apa itu Insurans?

Apabila anda membeli polisi insurans dengan membayar premium kepada syarikat insurans anda telah mengikat kontrak dengan syarikat insurans yang akan berkewajiban membayar sejumlah wang yang telah dipersetujui apabila berlaku sesuatu kemalangan atau kematian terhadap anda.
Apakah jenis-jenis insurans?
Terdapat berbagai-bagai jenis insurans untuk melindungi anda dari semua jenis risiko seperti insurans nyawa, insurans kenderaan dan insurans kebakaran.

Semua jenis insurans termasuk insurans motor bertujuan menolong anda mengurangkan atau menampung kerugian kewangan akibat berlakunya sesuatu kecelakaan. Oleh itu, sebuah polisi insurans sebenarnya merupakan sesuatu kontrak di antara pihak syarikat insurans dan pihak pengguna bahawa pampasan akan dibayar jika kecelakaan atau kemalangan yang disebutkan di dalam polisi itu berlaku. Walau bagaimanapun, pampasan hanya akan dibuat bergantung kepada premium yang dibayar.

Insurans Nyawa

Tujuan insurans nyawa ialah untuk memberi jaminan kewangan kepada anak-anak dan tanggungan lain yang berada di bawah tanggungan pencari nafkah jika beliau meninggal dunia. Insurans penggal memberi perlindungan insurans untuk beberapa tahun yang ditetapkan (term). Jika pemegang polisi meninggal dunia dalam tempoh itu, keluarga beliau akan mendapat jumlah yang diinsuranskan. Tetapi jika pemegang polisi tidak meninggal dunia dalam jangka masa yang ditetapkan itu, beliau tidak akan mendapat apa-apa dari syarikat insurans berkenaan. Keistimewaan insurans penggal adalah premium yang dibayar adalah lebih rendah berbanding dengan insurans lain.

Untuk jenis insurans yang lain seperti insurans endowmen, polisinya ialah untuk jangka waktu tertentu. Pemegang polisi akan menerima jumlah yang diinsuranskan pada akhir tempoh yang ditetapkan.
Walau bagaimanapun, sekiranya pemegang polisi meninggal dunia sebelum tempoh yang ditetapkan, keluarganya berhak menerima bayaran daripada polisi tersebut. Bagi polisi insurans nyawa seumur hidup, pemegang polisi membayar premium untuk seumur hidup. Apabila pernegang polisi meninggal dunia, keluarga beliau akan menerima kesemua jumlah wang yang diinsuranskan. Jika pemegang polisi menyerahkan polisi beliau selepas 20 atau 30 tahun, sebelum kematiannya seperti yang dinyatakan di dalam polisi, beliau akan mendapat balik sejumlah wang yang tertentu - iaitu jumlah yang beliau telah bayar campur dengan sebahagian dari keuntungan pelaburan kumpulan wang insurans berkenaan.

Jenis insurans yang akan memberi faedah adalah satu polisi yang dapat memberi perlindungan maksimum dengan kos yang minimum.

Untuk maklumat lanjut tentang insurans hubungi :

1. Persatuan Insurans Am Malaysia
Tingkat 3, Wisma PIAM
150 Jalan Tun Sambanthan
50470 Kuala Lumpur

2. Persatuan Insurans Nyawa Malaysia
49, Jalan Kampung Pandan
55100 Kuala Lumpur.

Panduan Untulk Membeli Insurans
  • Pastikan ejen insurans anda berdaftar dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).
  • Bacalah polisi insurans daripada ejen anda tentang syarat-syarat yang terkandung di dalam polisi dan semak penjelasan itu dengan PIAM atau rakan-rakan yang mungkin telah mengambil polisi yang sama.
  • Pastikan semua faedah yang akan diperolehi dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian.
Insurans Motor

Perlindungan insurans motor ialah satu kemestian bagi semua kenderaan yang digunakan di jalanraya.
la adalah untuk menjamin supaya pemandu-pemandu dilindungi daripada liabiliti (tangungan) yang mungkin wujud jika berlaku sesuatu kemalangan. Jenis insurans kenderaan yang biasa ialah Polisi Pihak Ketiga dan Polisi Komprehensif. Perlindungan lain bolehlah diperolehi mengikut pilihan pemegang polisi.

Apa itu Polisi pihak ketiga (third party)/polisi komprehensif?

Polisi pihak ketiga /(Third Party Policy) - jika anda memandu kereta dan melanggar kereta milik B, di bawah insurans pihak ketiga, syarikat insurans anda hanya akan bertanggungjawab untuk membayar pampasan terhadap kecederaan, kematian pemandu atau penumpang kereta B dan juga kepada kereta B sahaja.

Polisi Komprehensif
Jika perkara yang sama berlaku dan anda memegang polisi insurans komprehensif, anda adalah dilindungi daripada liabiliti yang wujud akibat kematian atau kecederaan anggota badan pemandu atau penumpang dan kereta B serta kerosakan yang berlaku ke atas kereta anda. Syarikat insurans juga akan membayar gantirugi kepada anda sekiranya kereta anda hilang, dicuri ataupun musnah akibat kebakaran.

Apa yang patut anda lakukan semasa mengisi Borang Cadangan?

Semasa mengisi Borang Cadangan, anda mestilah menyatakan segala fakta material yang dikehendaki setakat yang anda ketahui. Fakta-fakta material ini akan mempengaruhi syarikat insurans sama ada akan menerima atau menolak cadangan anda ataupun mengenakan bayaran tambahan. Di dalam Insurans Kehidupan atau Nyawa, fakta-fakta mengenai kesihatan dan pekerjaan anda merupakan fakta material.

Bagi insurans motor pula, rekod kemalangan, pengubahsuaian yang dilakukan ke atas kenderaan, umur kenderaan serta umur, pengalaman dan pekerjaan pemilik kenderaan adalah fakta material.

Apa yang terjadi jika ejen insurans melakukan kesilapan atau mengisi maklumat yang tidak benar?

Sekalipun perkara ini berlaku bukan disebabkan kesilapan anda, Syarikat Insurans boleh menolak kontrak. Oleh yang demikian, anda hendaklah sentiasa membaca apa yang ditulis atau diisi secara teliti sebelum menandatangani borang cadangan insurans motor.

Apa dia Nota Lindungan (Cover Note)?

Setelah anda membayar premium, ejen akan mengeluarkan nota perlindungan (covernote) sebagai perlindungan sementara sebelum syarikat insurans memutuskan sama ada untuk membatalkan atau menerima cadangan anda. la akan tamat sama ada selepas tarikh tamat nota berkenaan atau apabila cadangan anda ditolak atau bila polisi dikeluarkan oleh syarikat insurans.

Pastikan anda mendapat satu salinan nota perlindungan yang dilengkapi dengan segala keterangan mengenai perlindungan insurans motor seperti jumlah diinsuranskan, premium, ekses dan tempoh perlindungan selepas membayar premium kepada ejen insurans.

Sila hubungi syarikat insurans anda sekiranya anda tidak menerima polisi insurans selepas 30 hari.

Apa yang patut anda lakukan sernasa mernpertimbangkan untulk membeli polisi?

1 . Sentiasa membaca dan memahami terma-terma dan syarat-syarat polisi.

2. Jangan membeli polisi insurans hanya kerana desakan dari ejen insurans. Lakukan hanya apabila anda sudah mengetahui apakah sebenarnya polisi berkenaan dan jika anda memerlukannya. Walau bagaimanapun, di bawah undang-undang, anda perlu memiliki insurans kenderaan bermotor.

3. Apabila anda sudah memiliki polisi tertentu anda mestilah sentiasa menepati bayaran premium yang ditentukan.

4. Jika anda mengambil terlalu banyak polisi, syarikat insurans mungkin akan meraguinya dan mungkin akan membatalkan polisi anda.


Apa yang perlu anda lakukan sekiranya anda ditimpa kemalangan

Buat laporan kepada pihak polis dalam masa 24 jam mengenai kemalangan berkenaan.

Maklumkan syarikat insurans anda secara bertulis dengan secepat mungkin segala butir-butir mengenai kerosakan ataupun kehilangan yang berlaku denganmenyertakan laporan polis. Tempoh masa yang munasabah untuk melaporkan kepada syarikat insurans adalah 14 hari. Walau bagimanapun, untuk kes-kes yang melibatkan kecederaan anggota badan, di mana pemegang polisi dimasukkan ke hospital akibat kemalangan, mereka hendaklah melaporkan kepada syarikat insurans sebaik sahaja berupaya untuk berbuat demikian. Jika ada kes, pihak lain mendakwa anda dan anda menerima saman ke Mahkamah, jangan sekali-kali mengaku salah tetapi maklumkan perkara ini kepada syarikat insurans anda. Jika anda tidak berbuat demikian, syarikat insurans mungkin tidak akan bertanggungjawab mempertahankan kepentingan anda apabila ada tuntutan terhadap anda atau tuntutan ke atas kerosakan kenderaan orang lain.

Perkara Yang Perlu Diingat

Adakah anda memiliki polisi insurans kenderaan bermotor atau polisi insurans nyawa? Sudahkah anda membaca terma dan syaratsyarat polisi berkenaan? Adakah anda mengetahui bahawa anda terikat kepada berbagai terma dan syarat?

Dipetik daripada : Panduan Pengguna (Edisi Kedua), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Kuala Lumpur, 1999.


Read more...