Monday, May 11, 2009

Anuiti Persaraan

Anuiti adalah suatu kontrak di mana syarikat insurans bersetuju untuk menyediakan anda dengan pendapatan yang berterusan untuk sepanjang hayat, sebagai balasan kepada caruman premium yang dibayar sekali gus.

Lazimnya seorang pesara memerlukan lebih kurang 60% daripada gaji terakhir beliau untuk mengekalkan taraf hidupnya pada masa persaraannya. Caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menjadi sumber pendapatan persaraan yang penting tetapi satu kajian berkenaan KWSP menunjukkan bahawa kebanyakan pencarum menghabiskan simpanan mereka dalam masa tiga tahun dari tarikh pengeluaran selepas bersara. Anuiti persaraan memastikan masa depan anda terjamin.


Mengapa Saya Perlu Membeli Anuiti Persaraan

  • Memastikan pendapatan untuk seumur hidup, meringankan ketidaktentuan dan masalah yang mungkin anda hadapi sekiranya anda kehabisan sumber kewangan semasa hayat bersara.
  • Memastikan pembayaran pendapatan kepada orang yang anda sayangi selepas anda meninggal dunia.

Memilih Anuiti Yang Sesuai

Di dalam memilih anuiti yang sesuai, sentiasalah:
  • Tahu bahawa bayaran pendapatan yang anda terima bergantung kepada jumlah yang dibayar untuk membeli anuiti tersebut, umur anda ketika membeli anuiti tersebut dan jantina anda
  • Tahu bahawa jenis anuiti dan manfaatnya menentukan jumlah yang akan anda terima setelah bersara
  • Membeli pelan anuiti yang benar-benar sesuai dengan keperluan anda

Jenis-Jenis Anuiti Asas

Anuiti serta-merta
Pembayaran pendapatan bermula dalam tempoh 12 bulan selepas anda membeli anuiti. Ia sesuai untuk mereka yang hampir bersara atau telah bersara. Premiumnya dibayar sekali gus ketika membeli anuiti.

Anuiti tertunda
Pembayaran pendapatan bermula lebih dari 12 bulan selepas anda membeli anuiti. Anda boleh membeli anuiti jenis ini pada bila-bila masa sepanjang tempoh anda bekerja. Premiumnya yang boleh dibayar sekali gus akan terkumpul dengan syarikat insurans, atau anda boleh membuat siri bayaran berkala sehinggalah persaraan anda.


Jenis-Jenis Opsyen (Pilihan) Manfaat Biasa


Anuiti tetap tanpa tempoh terjamin

Membayar pendapatan pada kadar tetap secara teratur sepanjang hayat anda.


Anuiti tetap dengan tempoh terjamin

Membayar pendapatan pada kadar tetap sepanjang hayat anda, atau sekurang-kurangnya untuk suatu tempoh terjamin.Contoh: Seseorang membeli anuiti dengan tempoh terjamin 10 tahun. Sekiranya ia meninggal dunia selepas 6 tahun, bayaran anuiti akan diteruskan kepada benefisiarinya untuk tempoh 4 tahun selebihnya. Sekiranya pembeli anuiti masih hidup melepasi tempoh terjamin 10 tahun, ia akan terus menerima bayaran pendapatan sepanjang hayatnya.


Anuiti meningkat

Membayar pendapatan yang meningkat setiap tahun pada kadar yang tetap untuk sedikit sebanyak melindungi pendapatan anda daripada inflasi, di sepanjang hayat anda. Pendapatan permulaan bagi anuiti meningkat pada kebiasaannya lebih rendah daripada yang anda terima di bawah anuiti tetap, tetapi anuiti meningkat akan memberikan pendapatan yang lebih baik pada tahun- tahun kemudian dalam tempoh persaraan anda.


Anuiti hayat bersama

Membayar pendapatan untuk sepanjang hayat anda dan seterusnya kepada pasangan anda sepanjang hayatnya selepas anda meninggal dunia. Walau bagaimanapun, pendapatan yang dibayar kepada pasangan anda itu mungkin pada amaun yang dikurangkan.


Menyimpan Untuk Anuiti


Anda dinasihatkan untuk mula menyimpan seawal mungkin sepanjang tempoh anda berkerja supaya dana yang cukup dapat dikumpul bagi membolehkan penyediaan pendapatan yang setimpal apabila anda bersara. Walau bagaimanapun, anda juga boleh mendapatkan anuiti ini setelah anda bersara.

Sebaliknya, jika anda hanya mahu membayar jumlah premium yang lebih kecil, anda boleh mendapatkan anuiti tertunda, di mana premium dijelaskan lebih awal dan akan dilaburkan oleh syarikat insurans untuk memberikan pendapatan kepada anda sewaktu anda bersara.


Untuk maklumat lanjut, sila muat turun buku panduan anuiti persaraan atau hubungi syarikat insurans untuk sebarang bantuan.

Muat turun disini

Sumber: http://www.insuranceinfo.com.my/choose_your_cover/secure_your_future/retirement_annuity.php?intPrefLangID=2