Membeli insurans hayat untuk diri sendiri atau mereka yang tersayang dapat membantu anda daripada segi kewangan ketika dalam kesusahan. Waris anda layak menerima sejumlah wang daripada polisi anda jika anda meninggal dunia. Anda juga boleh menerima pampasan ke atas sebarang kecacatan kekal yang menimpa anda.
Mengapa saya perlu membeli insurans hayat?
- Bagi memastikan keluarga terdekat anda mempunyai wang tunai dan pendapatan selepas kematian anda.
- Agar anak anda mempunyai wang untuk pendidikannya.
- Supaya anda mempunyai pelan tabungan untuk masa hadapan sebagai sumber pendapatan apabila bersara.
Apakah polisi yang patut saya beli?
Apabila memilih polisi, anda harus:
- Memilih polisi yang sesuai dengan peringkat hidup anda
- Memahami skop perlindungan yang ditawarkan polisi tersebut
- Mengetahui apa yang akan terjadi jika anda perlu menukar polisi
- Memberi maklumat penuh dan tepat di dalam permohonan anda
Jenis-jenis polisi asas
Insurans bertempoh
- Polisi ini menawarkan perlindungan insurans untuk tempoh terhad sahaja. Wang manfaat dibayar hanya setelah kematian atau sekiranya anda mengalami hilang upaya menyeluruh dan kekal semasa dalam tempoh polisi.
Insurans hayat seumur hidup
- Polisi ini menawarkan perlindungan sepanjang hayat dan premiumnya dibayar seumur hidup anda. Wang manfaatnya, termasuk apa-apa bonus, akan dibayar setelah kematian atau sekiranya anda mengalami hilang upaya menyeluruh dan kekal.
Insurans endowmen
- Polisi ini menggabungkan perlindungan dan tabungan. Wang manfaatnya akan dibayar pada akhir tempoh yang ditetapkan berikutan kematian atau jika anda mengalami hilang upaya menyeluruh dan kekal. Sekiranya anda masih hidup apabila polisi matang, anda akan mendapat wang berkenaan; jika sebaliknya, wang itu akan diberi kepada penama anda
Insurans berkaitan pelaburan
- Premium anda digunakan untuk membeli perlindungan insurans hayat dan unit saham di dalam dana yang diurus oleh syarikat insurans hayat. Harga unit tersebut adalah berasaskan prestasi pelaburan dana yang diuruskan. Manfaat yang dibayar kepada anda atau penama anda bergantung kepada harga unit saham pada masa anda menyerahkan polisi atau apabila anda meninggal dunia.
Pelan anuiti hayat
- Anuiti ialah satu siri bayaran yang dibuat kepada anda sehingga anda meninggal dunia. Terdapat dua jenis anuiti iaitu anuiti serta-merta dan anuiti tertunda.
Perlindungan/‘rider’ tambahan
- 'Rider' ialah perlindungan tambahan yang dilampirkan bersama pelan insurans asas seperti endowmen atau seumur hidup. Ia memberikan anda fleksibiliti untuk memenuhi keperluan individu anda, seperti perlindungan terhadap kemalangan, hilang upaya atau masuk hospital. Anda diperlukan membayar premium tambahan.
Insurans bertempoh gadai janji berkurangan (mortgage reducing term assurance - MRTA)
- Perlindungan insurans yang meliputi pembayaran balik pinjaman pembelian hartanah tertunggak kepada institusi kewangan sekiranya berlaku kematian, hilang upaya atau sakit kritikal peminjam
Apakah yang anda perlu ingat tentang polisi anda?
- Buatlah catatan tentang tarikh premium perlu dibayar. Sekiranya bayaran tidak dibuat mengikut tarikhnya, polisi insurans hayat anda mungkin luput.
- Pastikan anda sentiasa meminta resit sebagai bukti pembayaran.
- Pastikan umur anda yang tercatat di dalam borang permohonan adalah tepat.
- Sentiasalah menyemak semula keperluan insurans anda.
- Menyimpan dokumen-dokumen polisi anda di tempat yang selamat.
- Salinkan maklumat asas seperti syarikat insurans pengeluar polisi anda, jenis polisi, nombor polisi dan nama-nama waris anda di tempat lain.
- Membuat pertanyaan kepada ejen insurans anda jika terdapat sebarang kemusykilan.
Kepentingan Pendedahan
Anda mestilah memberikan semua fakta penting dalam borang permohonan anda sepenuhnya dan secara jujur. Sekiranya ejen anda mengisikan borang permohonan untuk anda, baca dan fahamilah keperluan dalam borang tersebut dengan teliti sebelum anda menandatangani borang berkenaan. Jika tidak, polisi insurans hayat anda mungkin boleh terbatal.
Source: http://www.insuranceinfo.com.my/choose_your_cover/secure_your_future/life_insurance.php?intPrefLangID=2&